31 March, 2025

Jangan Prasangka & Salam Lebaran 1 Syawal 1446H.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Semoga semuanya sentiasa sihat walau di mana jua berada.

Kadang-kadang, tanpa sedar kita terlalu sibuk memandang hidup orang lain. Kita tengok mereka berjaya, kita rasa kecil. Kita tengok hidup mereka mudah dan senang. Kita rasa hidup kita tak cukup. Tapi kita lupa, Tuhan tak jadikan semua orang dengan kisah yang serupa. Masing-masing punya jalan yang tak sama.

Setiap dari kita lahir dengan pakej berbeza. Ada orang yang rezekinya mudah dan melimpah, tapi mungkin hatinya selalu resah. Ada orang yang hidupnya sederhana dan biasa-biasa sahaja, tapi cukup tenang serta bahagia. Ada yang berjalan pantas, ada juga yang masih perlahan meniti langkah. Semua itu adalah aturan Tuhan yang penuh hikmah, walaupun kadang kita tak nampak.

Hidup ini memang penuh dengan dugaan dan cabaran. Kita sering membandingkan hidup kita dengan orang lain. Kita nampak apa yang mereka ada, tapi kita tak nampak apa yang mereka lalui dan korbankan. Kita nampak senyum mereka, tapi tak tahu air mata yang pernah tumpah. Kita fikir jalan mereka mudah, padahal mereka juga pernah jatuh berkali-kali sebelum bangkit.

Lebih mencabar lagi, bila hati mula diusik prasangka. Kita mudah berkata, "Dia senang sebab ada orang yang tolong." atau "Dia berjaya sebab punya nasib yang baik." Tanpa kita sedar, kata-kata begitu kadang-kadang menutup pintu rezeki dan fikiran begitu hanya buat hati kita makin sempit serta menganggu ketenangan hati.

Kini, Syawal menjelma kembali. Musim kita berkunjungan-kunjungan dan bermaaf-maafan. Aidilfitri bukan sekadar hari bergembira dengan kuih raya, ketupat, rendang dan baju baru. Ia adalah ruang dan kesempatan untuk kita muhasabah, bersihkan jiwa, serta buang segala rasa yang menyesakkan hati. Memulai semula dengan hati yang lebih tenang, jiwa yang lebih bersyukur.

Mari kita berhenti menoleh hidup orang. Mari kita pandang ke dalam diri sendiri, melihat apa yang boleh kita syukuri dan baiki diri mana yang kurang. Doakan yang baik untuk orang lain, tanamkan sangka baik dalam hati. Hidup ini bukan perlumbaan siapa lebih dulu, tapi perjalanan menuju ketenangan hati. Jika kita terlalu sibuk melihat kebun orang, kita lupa menyiram pokok dalam kebun sendiri. Barangkali, bila tiba musimnya, buah dari pokok kita jauh lebih manis.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak semua bermaafan, lupakan rasa iri, jauhkan sangka buruk. Hidup akan jadi lebih ringan bila hati kita tenang dan bersih. Percayalah, Tuhan tak pernah silap atur hidup kita.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga Syawal kali ini membawa lebih banyak ketenangan, keberkatan dan kebahagiaan dalam hidup kita semua.

Sekian, sampai jumpa.

Catatan dari hati. Bukan untuk disalin tanpa rasa.

No comments:

Jangan Prasangka & Salam Lebaran 1 Syawal 1446H.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Semoga semuanya sentiasa sihat walau di mana jua berada. Kadang-kadang, tanpa sedar kita terlal...