26 May, 2026

Kepercayaan yang dikhianati.

Assalamualaikum. wkt dan salam sejahtera pembaca yang budiman.

Hidup ini tidak selalu berjalan seperti apa yang kita harapkan. Ada masa kita memberi kepercayaan sepenuh hati, tetapi akhirnya dikecewakan. Ada waktu kita menjaga perasaan orang lain sebaik mungkin, namun tetap juga terluka dengan kata-kata mereka. Ada ketika kita sudah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi hasilnya tetap tidak seperti yang diimpikan. Begitulah dunia ini. Tidak semua yang kita mahu akan menjadi nyata.

Kecewa itu normal. Semua orang pernah melaluinya. Bezanya cuma bagaimana seseorang mengawal dirinya saat kecewa datang bertubi-tubi. Ada yang memilih untuk melepaskan marah kepada semua orang. Ada yang terus berubah dingin. Ada juga yang menyimpan sakit itu dalam diam sambil cuba belajar menerima kenyataan. Hakikatnya, bukan semua luka perlu dibalas dengan kemarahan. Bukan semua sakit perlu diumumkan kepada dunia. Kadang-kadang diam itu lebih matang daripada terus meluahkan emosi yang akhirnya hanya meninggalkan penyesalan.

Sebab bila emosi menguasai diri, kita mudah berkata sesuatu yang sebenarnya tidak patut diucapkan. Kita boleh merosakkan hubungan yang dibina bertahun-tahun hanya kerana beberapa minit kemarahan. kadang-kadang, luka yang lahir daripada kemarahan itu jauh lebih besar daripada punca kecewa yang sebenar. Menelan kekecewaan bukan bermaksud lemah. Bukan juga berpura-pura kuat. Tetapi itu tanda seseorang masih mampu mengawal dirinya walaupun hati sedang kacau-bilau. Masih mampu menjaga sikap walaupun dalam dada penuh rasa kecewa.

Kedewasaan sebenar selalunya bukan terlihat saat seseorang sedang bahagia. Tetapi saat dia kecewa dan masih mampu memilih untuk tenang. Kerana hidup ini terlalu singkat untuk dipenuhi dendam dan kemarahan yang tidak berpenghujung. Marah tidak akan mengubah apa yang sudah berlaku. Ia cuma meletihkan hati, merosakkan fikiran, dan membuat jiwa semakin berat.

Tidak salah untuk sedih. Tidak salah untuk menangis. Kita manusia biasa, bukan batu yang tidak punya perasaan. Tetapi selepas semua rasa itu berlalu, kita tetap ada pilihan. Sama ada mahu terus hanyut dalam kemarahan, atau perlahan-lahan belajar menerima dan meneruskan hidup. Seni menelan kekecewaan adalah belajar memahami bahawa manusia boleh berubah, harapan boleh runtuh, dan kenyataan tidak selalu indah seperti yang kita bayangkan. Namun walaupun begitu, kita masih boleh memilih untuk tetap tenang, tetap menjaga hati, dan tetap melangkah tanpa membawa kebencian ke mana-mana.

Kadang-kadang, kemenangan terbesar dalam hidup bukan ketika kita berjaya membalas rasa sakit itu. Tetapi ketika kita mampu mengawal diri dan tidak kehilangan diri sendiri hanya kerana kecewa sesaat.

Sekian, jumpa lagi.

10 April, 2026

Tanah Yang Kau Pijak, Langit Yang Kau Junjung!

Assalamualaikum.wkt dan selamat sejahtera pembaca yang budiman.

Kadang-kadang dalam perjalanan hidup ini, manusia mudah lupa. Apabila berada di satu tempat terlalu lama, apabila kedudukan mula terasa selesa, atau apabila orang di sekeliling mula memanggil dengan panggilan yang penuh hormat, perlahan-lahan ada yang mula merasakan seolah-olah semuanya milik dirinya. Seolah-olah tempat itu tidak akan berubah dan dunia hanya berputar di sekelilingnya.

Hakikatnya tidak begitu. Tanah yang kau pijak, langit yang kau junjung bukan hak mutlak kau. Tempat yang kita duduki hari ini pernah menjadi tempat orang lain sebelum kita. Suatu hari nanti, tempat itu juga akan menjadi milik orang lain selepas kita. Begitulah kehidupan yang sentiasa berputar.

Yang datang akan pergi. Yang berada di atas juga akan turun. Yang memegang kuasa hari ini, mungkin esok hanya tinggal kenangan. Sebab itu dalam hidup ini kita diajar untuk sentiasa berpijak di bumi yang nyata.

Hormati orang lain, jaga tutur kata dan jangan terlalu cepat meninggi diri. Dunia ini kecil dan kehidupan pula tidak pernah kekal dalam satu keadaan. Apa yang tinggal akhirnya bukanlah pangkat yang pernah kita pegang atau kedudukan yang pernah kita duduki.

Yang akan diingati oleh manusia adalah bagaimana kita memperlakukan orang lain ketika kita berada di tempat itu. Kerana apabila semuanya berlalu nanti, manusia tidak akan mengingati betapa tingginya kita pernah berdiri, tetapi mereka akan mengingati bagaimana kita pernah berjalan di atas tanah yang sama dengan mereka.

Jumpa lagi.





01 April, 2026

Adakah saya masih disayangi dan diperlukan?

Assalamualaikum.wkt dan selamat sejahtera pembaca yang budiman.

Akhir pekan ini saya banyak termenung. Bukan kerana kecewa, tetapi kerana fikiran seakan kembali menelusuri perjalanan yang sudah terlalu lama dilalui. Hampir 15 tahun saya merantau, meninggalkan kampung halaman dan membina kehidupan di tempat orang. Di sinilah saya bekerja, belajar memahami ragam manusia, menyesuaikan diri dengan budaya kerja, dan perlahan-lahan membina langkah sendiri.

Tahun demi tahun berlalu. Ada banyak perkara yang dilalui. Program demi program, pelajar demi pelajar, pentas demi pentas. Ada yang berjalan lancar, ada juga yang menuntut kesabaran yang panjang. Tetapi semuanya dengan satu niat yang sama melakukan yang termampu dengan sebaiknya.

Saya tidak pernah benar-benar menghitung apa yang telah diberikan. Namun apabila tiba satu ketika di mana saya akan mencuba sekali lagi membuka satu ruang baharu dalam perjalanan, tiba-tiba hati menjadi sedikit lebih sunyi daripada biasa. Bukan kerana takut, tetapi kerana banyak persoalan menjadi tanda tanya.

Dalam perjalanan yang panjang ini, apakah segala usaha yang pernah ditaburkan itu masih dikenang sebagai sebahagian daripada cerita di tempat ini? Masih wujud kah simpati dan belas ihsan? Bukan soal mengharap kelebihan. Bukan juga soal meminta jalan yang dipermudahkan.

Cuma sebagai manusia biasa, ada waktu-waktu tertentu kita berharap perjalanan yang panjang itu dilihat dengan sedikit pengertian. Bahawa di sebalik semua tugas, tanggungjawab dan komitmen yang pernah dipikul, ada seorang insan yang selama ini sedaya upaya menjalankan amanah dengan sebaik mungkin.

Namun semakin difikirkan, saya sedar satu perkara. Ada perjalanan hidup yang tidak perlu terlalu banyak dijelaskan kepada orang lain. Kita sendiri yang lebih tahu bagaimana langkah itu bermula, bagaimana ia dipertahankan, dan bagaimana ia sampai ke titik hari ini.

Jika ada ruang yang terbuka nanti, saya akan menerimanya dengan rasa syukur. Jika tidak, perjalanan ini tetap tidak pernah terasa sia-sia.

Kerana sepanjang hampir lima belas tahun di perantauan, saya tahu saya telah melakukan apa yang termampu, bekerja dengan ikhlas, belajar untuk kekal relavan, memberi, tanpa mengharap balas dan tetap terus bertahan. Dan Akhirnya mungkin dalam hidup ini, itu sudah menjadi satu cerita yang cukup berharga.

Sampai jumpa.


24 March, 2026

Tentang Pilihan 2026! Hidup ini memang keras!!

Assalamualaikum.wkt dan salam sejahtera pembaca yang budiman.

Saya terpanggil untuk menulis tentang pilihan. Jom kita semak sama-sama.

Mungkin kalau saya masih kecil dulu, sebenarnya saya tidak punya banyak pilihan. Kalau ada pun pilihan, selalunya ia ditentukan oleh mak dan abah. Bukan diri sendiri.

Termasuklah soal pakaian ketika Hari Raya. Tiada banyak soal. Apa yang ada, itulah yang dipakai. Kadang-kadang baju abang pun jadi baju saya. Hahaha.. Untung ukuran badan kami sama. Tidak pernah terasa ia satu kekurangan. Masa kecil, kita tidak pandai menilai apa itu cukup atau tidak. Kita hanya tahu, itu yang ada.

Tentang makanan pula, apa yang terhidang di rumah itulah yang kami makan. Kami jarang makan di kedai. Kalau makan di kedai pun, biasanya kerana ada urusan ke bandar. Bukan sekadar keluar untuk makan. Waktu itu, makan di luar bukan kebiasaan, tapi lebih kepada keperluan yang datang sekali-sekala.

Bila kita dewasa, barulah kita sedar sebenarnya terlalu banyak pilihan yang kita ada. Kita boleh memilih mahu jadi apa dan menentukan mahu jadi siapa. Kita boleh memilih warna baju raya dan kereta apa yang mahu kita pandu. Malah kita juga memilih bagaimana kita mahu dilihat oleh orang lain, sama ada mahu dikenali sebagai orang yang baik atau dipandang serong oleh masyarakat.

Kadang-kadang kita suka mencari alasan. Kita kata ibu bapa tidak mengajar. Kita kata guru-guru terlepas pandang. Kita kata kita tidak dibesarkan dengan didikan yang cukup tentang common sense atau kepedulian terhadap orang lain. Tetapi bukankah kita punya akal fikiran?

Ya, benar. Kita semua datang dari latar belakang yang tidak sama. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup dan ada yang diuji dengan kesihatan. OCD, Obses! Anxiety! Ada juga yang berkata bahawa mereka mempunyai pelbagai masalah dan kesakitan dalam hidup. Namun kadang-kadang, tanpa kita sedar, semua itu menjadi alasan yang kita pegang terlalu lama.

Akhirnya kita lupa satu perkara yang paling penting. Dalam banyak-banyak pilihan yang kita ada dalam hidup ini, ada satu perkara yang sepatutnya kita tetapkan sejak awal, iaitu iman.

Kerana apabila iman itu menjadi asas, pilihan-pilihan lain dalam hidup selalunya akan menemukan jalannya sendiri. Mungkin di situlah sebenarnya letaknya kematangan. Saya bersyukur, Alhamdulillah, atas apa yang saya ada hari ini.

Hidup ini mungkin tidak sempurna dan perjalanan ini juga tidak selalu mudah. Kita semua kena kuat! Namun selagi kita masih diberi nafas, masih diberi peluang dan masih diberi akal untuk berfikir, selagi itu masih ada ruang untuk kita menjadi manusia yang lebih baik. Dari situlah kebaikan boleh terus mengalir, sedikit demi sedikit, dari satu hati kepada satu hati yang lain.



26 January, 2026

Hijrah setelah 15 Tahun.

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca yang budiman.

Saya kembali lagi, saya harap kalian dalam keadaan sihat-walafiat hendaknya.

Selepas 15 tahun, saya ambil keputusan untuk melakukan sesuatu yang selama ini hanya saya fikirkan dengan keberanian untuk mencari aura baharu. Bukan perkara besar, bukan langkah yang mengubah hidup secara dramatik, tapi cukup untuk menandakan diri sendiri sedang membuka ruang untuk pengalaman dan energi yang segar.

Proses ini mengajar saya banyak perkara. Melepaskan yang lama, memilih apa yang penting untuk dibawa, dan memberi ruang kepada yang baharu semuanya seperti membersihkan minda dan hati juga. Setiap langkah kecil yang diambil memerlukan keberanian, walaupun ia tampak sederhana, tapi memberi kesan yang mendalam pada diri sendiri.

Paling menarik adalah perasaan ketika melangkah ke fasa baru ini. Segalanya terasa segar, memberi peluang untuk menulis cerita baru, memupuk pengalaman baharu, dan menanam impian yang lama terpendam.

Pengalaman ini mengingatkan saya satu perkara penting, keberanian untuk berubah, walau kecil, sudah cukup untuk membuka lembaran baru. Aura baharu bukan datang dari luar semata-mata, tapi dari hati yang bersedia menerima perubahan dan menyambut kehidupan dengan positif.

Sampai di sini dulu coretan dari saya. Terima kasih kerana sudi membaca dan berkongsi waktu bersama saya. Mohon doa kalian agar setiap langkah kita diberkati dan terus membawa kita dekat kepada kebaikan. Jumpa lagi di entri seterusnya.







Kepercayaan yang dikhianati.

Assalamualaikum. wkt dan salam sejahtera pembaca yang budiman. Hidup ini tidak selalu berjalan seperti apa yang kita harapkan. Ada masa kita...