24 March, 2026

Tentang Pilihan 2026! Hidup ini memang keras!!

Assalamualaikum.wkt dan salam sejahtera pembaca yang budiman.

Saya terpanggil untuk menulis tentang pilihan. Jom kita semak sama-sama.

Mungkin kalau saya masih kecil dulu, sebenarnya saya tidak punya banyak pilihan. Kalau ada pun pilihan, selalunya ia ditentukan oleh mak dan abah. Bukan diri sendiri.

Termasuklah soal pakaian ketika Hari Raya. Tiada banyak soal. Apa yang ada, itulah yang dipakai. Kadang-kadang baju abang pun jadi baju saya. Hahaha.. Untung ukuran badan kami sama. Tidak pernah terasa ia satu kekurangan. Masa kecil, kita tidak pandai menilai apa itu cukup atau tidak. Kita hanya tahu, itu yang ada.

Tentang makanan pula, apa yang terhidang di rumah itulah yang kami makan. Kami jarang makan di kedai. Kalau makan di kedai pun, biasanya kerana ada urusan ke bandar. Bukan sekadar keluar untuk makan. Waktu itu, makan di luar bukan kebiasaan, tapi lebih kepada keperluan yang datang sekali-sekala.

Bila kita dewasa, barulah kita sedar sebenarnya terlalu banyak pilihan yang kita ada. Kita boleh memilih mahu jadi apa dan menentukan mahu jadi siapa. Kita boleh memilih warna baju raya dan kereta apa yang mahu kita pandu. Malah kita juga memilih bagaimana kita mahu dilihat oleh orang lain, sama ada mahu dikenali sebagai orang yang baik atau dipandang serong oleh masyarakat.

Kadang-kadang kita suka mencari alasan. Kita kata ibu bapa tidak mengajar. Kita kata guru-guru terlepas pandang. Kita kata kita tidak dibesarkan dengan didikan yang cukup tentang common sense atau kepedulian terhadap orang lain. Tetapi bukankah kita punya akal fikiran?

Ya, benar. Kita semua datang dari latar belakang yang tidak sama. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup dan ada yang diuji dengan kesihatan. OCD, Obses! Anxiety! Ada juga yang berkata bahawa mereka mempunyai pelbagai masalah dan kesakitan dalam hidup. Namun kadang-kadang, tanpa kita sedar, semua itu menjadi alasan yang kita pegang terlalu lama.

Akhirnya kita lupa satu perkara yang paling penting. Dalam banyak-banyak pilihan yang kita ada dalam hidup ini, ada satu perkara yang sepatutnya kita tetapkan sejak awal, iaitu iman.

Kerana apabila iman itu menjadi asas, pilihan-pilihan lain dalam hidup selalunya akan menemukan jalannya sendiri. Mungkin di situlah sebenarnya letaknya kematangan. Saya bersyukur, Alhamdulillah, atas apa yang saya ada hari ini.

Hidup ini mungkin tidak sempurna dan perjalanan ini juga tidak selalu mudah. Kita semua kena kuat! Namun selagi kita masih diberi nafas, masih diberi peluang dan masih diberi akal untuk berfikir, selagi itu masih ada ruang untuk kita menjadi manusia yang lebih baik. Dari situlah kebaikan boleh terus mengalir, sedikit demi sedikit, dari satu hati kepada satu hati yang lain.



No comments:

Tentang Pilihan 2026! Hidup ini memang keras!!

Assalamualaikum.wkt dan salam sejahtera pembaca yang budiman. Saya terpanggil untuk menulis tentang pilihan. Jom kita semak sama-sama. Mung...