01 April, 2026

Adakah saya masih disayangi dan diperlukan?

Assalamualaikum.wkt dan selamat sejahtera pembaca yang budiman.

Akhir pekan ini saya banyak termenung. Bukan kerana kecewa, tetapi kerana fikiran seakan kembali menelusuri perjalanan yang sudah terlalu lama dilalui. Hampir 15 tahun saya merantau, meninggalkan kampung halaman dan membina kehidupan di tempat orang. Di sinilah saya bekerja, belajar memahami ragam manusia, menyesuaikan diri dengan budaya kerja, dan perlahan-lahan membina langkah sendiri.

Tahun demi tahun berlalu. Ada banyak perkara yang dilalui. Program demi program, pelajar demi pelajar, pentas demi pentas. Ada yang berjalan lancar, ada juga yang menuntut kesabaran yang panjang. Tetapi semuanya dengan satu niat yang sama melakukan yang termampu dengan sebaiknya.

Saya tidak pernah benar-benar menghitung apa yang telah diberikan. Namun apabila tiba satu ketika di mana saya akan mencuba sekali lagi membuka satu ruang baharu dalam perjalanan, tiba-tiba hati menjadi sedikit lebih sunyi daripada biasa. Bukan kerana takut, tetapi kerana banyak persoalan menjadi tanda tanya.

Dalam perjalanan yang panjang ini, apakah segala usaha yang pernah ditaburkan itu masih dikenang sebagai sebahagian daripada cerita di tempat ini? Masih wujud kah simpati dan belas ihsan? Bukan soal mengharap kelebihan. Bukan juga soal meminta jalan yang dipermudahkan.

Cuma sebagai manusia biasa, ada waktu-waktu tertentu kita berharap perjalanan yang panjang itu dilihat dengan sedikit pengertian. Bahawa di sebalik semua tugas, tanggungjawab dan komitmen yang pernah dipikul, ada seorang insan yang selama ini sedaya upaya menjalankan amanah dengan sebaik mungkin.

Namun semakin difikirkan, saya sedar satu perkara. Ada perjalanan hidup yang tidak perlu terlalu banyak dijelaskan kepada orang lain. Kita sendiri yang lebih tahu bagaimana langkah itu bermula, bagaimana ia dipertahankan, dan bagaimana ia sampai ke titik hari ini.

Jika ada ruang yang terbuka nanti, saya akan menerimanya dengan rasa syukur. Jika tidak, perjalanan ini tetap tidak pernah terasa sia-sia.

Kerana sepanjang hampir lima belas tahun di perantauan, saya tahu saya telah melakukan apa yang termampu, bekerja dengan ikhlas, belajar untuk kekal relavan, memberi, tanpa mengharap balas dan tetap terus bertahan. Dan Akhirnya mungkin dalam hidup ini, itu sudah menjadi satu cerita yang cukup berharga.

Sampai jumpa.


Adakah saya masih disayangi dan diperlukan?

Assalamualaikum.wkt dan selamat sejahtera pembaca yang budiman. Akhir pekan ini saya banyak termenung. Bukan kerana kecewa, tetapi kerana fi...