Tentang Saya

My photo
Alor Gajah, Melaka, Malaysia
Melihat dari Mata Hati..

15 December, 2009

Kesempatan Menulis : Teater Natrah Arahan Erma Fatimah. Istana Budaya.

Salam sejahtera dan bertemu kembali. Sebenarnya banyak hal yang ingin saya perkatakan. Namun apabila hari demi hari berlalu saya terus malas ingin mengingat langsung melupakan. Saya menulis bukan untuk menyalahkan sesiapa. Namun saya percaya apabila saya berbicara tentu sahaja ada yang terasa. Namun susah juga untuk membuat orang percaya dengan apa yang saya rasa.

Lewat beberapa minggu yang lepas saya sengaja menghantar gambar-gambar untuk tatapan kalian. Saya sengaja membiarkan kalian melihat dan merenung. Dari situ kalian dapat membaca dengan akal fikiran kalian sendiri berbanding saya dengan cerita saya.
Kesempatan pada malam Rabu, 9 Disember 2009, saya bertandang ke Panggung Sari, Istana Budaya. Kedatangan saya pada malam itu bagi menyaksikan Natrah, sebuah teater arahan oleh Erma Fatimah. Entah bila agaknya namanya dieja sebagai Eirma Fatimah. Tertanya-tanya saya di dalam hati. Teringat kali terakhir saya bertemu dengan Erma Fatimah ketika beliau mengarahkan klip video ‘Baldu Biru’ nyayian oleh Ella dan Awie. Saya bersama-sama teman lain menjadi model tambahan. Saya begitu senang bekerja di bawah arahannya. Itulah kali pertama saya berlakon di depan kamera. Ternyata kali ini saya akan bertemu dengannya lagi. Semenjak saya memasuki bidang pentadbiran ini, agak terbatas saya melibatkan diri dalam bidang yang saya minati ini.

Lama benar saya tidak ke Istana Budaya. Kali terakhir pada awal tahun 2008. Saya dipanggil untuk temuduga Pegawai Kebudayaan (Ujian Amali). Istana Budaya bukan la asing bagi saya. Semasa menuntut di UiTM, Shah Alam dulu pun saya ada membuat lawatan belajar system teknologi di Istana Budaya itu. Menjejakan kali ke Istana Budaya semakin saya teruja menantikan cerita ini.

Kembali kepada Teater Natrah. Saya datang dengan tiada apa-apa maklumat pun tentang Natrah ini. Saya ada membaca sedikit ulasan ini di akhbar, tetapi tidak pernah menarik perhatian saya. Tahniah buat Erma Fatimah kerana berjaya mengarah teater ini walaupun ada cacat cela sedikit sebanyak di mana-mana. Saya tidak mahu bercerita tentang fakta atau cerita sebenar Natrah ini. Saya hanya ingin bercerita tentang persembahan pada malam saya menyaksikan itu
Saya menulis ini pun bukan kerana mencari salah sesiapa. Namun saya percaya apa yang saya lihat. Ternyata Erma Fatimah seorang pengarah yang bijak. Naskah Natrah yang berat dan penuh dengan fakta ini diangkat menjadi sesuatu yang mudah difahami (bukan terlalu ringan) sehingga berjaya mempermainkan perasan penonton. Saya percaya seseorang pengarah mempunyai tanggungjawab atau misi bagi melahirkan nilai-nilai murni dan moral. Saya percaya Erma Fatimah juga begitu.
Pemilihan pelakon Sofia Jane dan Maya Karin sangat tepat. Mereka sangat berjaya membawa watak mereka dengan berkesan. Begitu juga dengan watak Che Aminah yang dilakonkan oleh Umie Aida. Pemilihan pelakon-pelakon lain pun baik. Cuma saya menyarankan agar menguruskan pelakon-pelakon tambahan sebaik-baiknya. Duduk di kerusi VIP yang pentasnya separas mata saya, kelihatan jelas pelakon-pelakon tambahan di Kemaman dan pelakon tambahan di Singapura adalah orang yang sama. Lebih-lebih lagi mereka juga membuat persembahan yang menonjolkan diri mereka. Bukan setakat berdiri sahaja tetapi menyanyi dan menari-nari. Pengurusan pakaian pelakon tambahan juga perlu diperbaiki. Pakaian mereka sama sahaja walaupun pada masa dan situasi yang lain. Mereka tidak bertukar pakaian? Di mana kontinitinya? Seorang pelakon tambahan yang dengan jelas berketurunan cina memakai sari. Aneh bukan? Keluar dua atau tiga kali ke tengah pentas dengan memakai pemakaian sari yang sama. Bukan itu sahaja. Tetapi banyak lagi.

Elemen seni seperti nyanyian dan tarian membuatkan teater Natrah ini begitu mencuit jiwa dan hati sesiapa sahaja. Bermula adegan Natrah semasa kecil di rumahnya di Kemamaman yang menyuntik keseronokkan, kemudian pemergian Natrah dan Che Aminah ke Singapura yang melahirkan perasaan gembira serta sayu. Dengan nyanyian dan tarian juga, Erma Fatimah mengungkap peryataan perasaan yang dialami oleh Natrah. Bukan semudah dilahirkan melalui kata-kata. Iaitu ketika Natrah di dalam penjagaan Gereja.

Pada keseluruhannya persembahan teater ini adalah baik. Kritikan saya tadi tidaklah menyebabkan teater ini tidak mendapat kepujian. Sudah menjadi kebiasaan persembahan yang langsung ada cacat celanya di mana-mana. Namun kesempurnaan itulah yang dicari dan sukar untuk ditemui.Tahniah buat Erma Fatimah kerana berjaya mengangkat rasa dan jiwa dari secebis riwayat Natrah. Terima kasih.

Malam itu saya pulang lewat. Ketika teman bersama saya bertemu dengan pelakon-pelakon Natrah untuk mendapatkan tandatangan bagi Buku Program. Saya hanya mundar mandir di sekitar orang ramai di situ. Sengaja saya memerhati, memandang dan tercari-cari sesiapa yang dikenali. Dunia ini memang kecil, tidak lama, saya berselisih dengan teman lama saya semasa belajar di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang lewat tahun 1999. Teman ini sekolej penginapan di Desasiswa Damai. Lama tidak berjumpa. Hampir 9 tahun juga. Lantas saya merakam gambarnya buat tatapan kalian. Malam itu saya terus berfikir mencari moral yang jauh dari pemikiran pengarahan itu. Biarlah hanya saya yang tahu. Salam dan bertemu lagi.