28 April, 2025

Sensitiviti Bukan Mainan - Bila Etika Dilanggar Demi Content!

Assalamualaikum.. Salam hormat pembaca yang budiman.

Dalam dunia hari ini, makin ramai yang berani menyentuh isu sensitif, kononnya atas nama kebebasan berkarya. Ada yang kata, “Kita open minded sekarang.” Ada yang bangga, “Ini cara nak provoke minda.” Tapi hakikatnya, ramai yang dah mula menormalisasikan ketidaksensitifan semata-mata ingin mendapatkan perhatian, nak mengejar agenda, nak memenuhi nafsu content.

Sedih bukan? Sebab dari dulu lagi, nenek moyang kita dah ajar berkata biar berlapik, bergurau biar berpada-pada. Kita ada adab, kita ada etika. 
Kita tahu mana garis sempadan antara nak bercakap benar dengan sengaja menghiris hati orang.

Hari ini, ada yang sanggup menyentuh soal agama, bangsa, budaya. Semua itu dijadikan bahan jenaka atau provokasi. Katanya nak 'raise awareness', katanya ‘kritikan sosial’.
Tapi hakikatnya, bila kita cabar sempadan sensitiviti sesuka hati, itu bukan lagi kesedaran tetapi itu keangkuhan.

Janganlah kita terlalu rakus mengejar kejar nama sampai lupa nilai dan martabat diri.
Jangan sampai kita sendiri yang meruntuhkan tembok hormat dalam masyarakat, yang selama ini dibina dengan keringat dan kesabaran generasi sebelum kita.

Bebas bersuara itu perlu. Tapi kebebasan tanpa batas, tanpa timbang rasa, itu mengundang bahaya.

Ingat, bukan semua benda boleh kita normalisasikan atas nama 'content'. Bukan semua perkara sesuai dijadikan bahan hiburan.

Ada batas yang perlu kita jaga. Ada hati yang perlu kita hormati. Ada prinsip yang sepatutnya kita pertahankan, bukan kita jaja dan jual demi viral.

Saya mohon maaf sekiranya penulisan ini mungkin membuatkan ada yang terasa atau berkecil hati.
Segala teguran ini lahir daripada rasa tanggungjawab dan pandangan peribadi saya, kerana saya percaya sensitiviti dan adab itu bukan sesuatu yang boleh kita kompromi.

Sekian, jumpa lagi.

27 April, 2025

Rahsia!

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu kepada pembaca yang budiman.

Mereka sempurna..! Senyuman manis, tutur kata lembut, cara jalan pun tenang saja.. tapi sebenarnya, kita tak tahu apa yang sedang disembunyikan di sebalik wajah itu.

Setiap manusia ada rahsia. Ada sisi gelap yang disimpan kemas. Ada kisah silam yang tak pernah diceritakan pada sesiapa. Ada luka lama yang masih belum sembuh. Ada aib yang hanya Tuhan tahu. 

Kadang-kadang kita lupa, betapa Tuhan itu Maha Penyayang… Dia tutup aib kita. Dia lindungi rahsia kita. Dia beri ruang untuk kita berubah perlahan-lahan. Tapi manusia pula, suka mencari salah orang. Suka jadi hakim dan menghukum tanpa tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam hidup seseorang.

Apa yang kita nampak di luar, belum tentu mencerminkan apa yang ada di dalam. Orang yang paling banyak buat orang lain ketawa, mungkin orang yang paling sering menangis dalam diam. Yang nampak tenang, mungkin sedang bergelut hebat dengan diri sendiri setiap hari.

Jadi, bila kita bertemu sesiapa pun, belajarlah untuk tidak cepat menilai. Mungkin dia sedang bertarung dengan sesuatu yang kita sendiri belum tentu kuat untuk hadapi. Kita jaga rahsia kita. Kita jaga rahsia orang. Paling penting, jangan jadi manusia yang suka membuka aib orang lain.

Hari ini mungkin kita rasa semuanya baik. Tapi esok, siapa tahu? Giliran kita pula untuk diuji. Rahsia itu kalau tak terbuka di dunia, akan terbuka di akhirat. Saat itu, tiada satu pun boleh kita sembunyikan lagi.

Semoga kita terus belajar jadi manusia yang tahu menjaga, bukan membongkar. Sekian.

24 April, 2025

Jangan Prejudis Kawan!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca yang budiman.

Baru-baru ini, saya mengalami satu situasi yang sedikit mengecewakan. Saya menghubungi seseorang yang saya kenali, sekadar ingin bertanya sesuatu bukan untuk diri saya, tetapi bagi pihak seorang sahabat yang sedang memerlukan pertolongan.

Namun, jawapan yang saya terima cukup mengejutkan. Biarlah saya sahaja yang tahu apa responnya. Jujurnya, saya terasa dan terkesan. Sedikit terhina, walaupun niat saya hanyalah untuk membantu. Soalan yang saya ajukan pun tidak berat, sekadar pesanan pertanyaan yang ringkas dan berhemah.

Kenapa perlu takut? Kenapa perlu curiga?

Kadang-kadang, kita lupa bahawa niat yang baik itu boleh disalahertikan oleh orang lain terutama bila kita terlalu cepat membuat andaian. Kita semua berbeza cara berfikir, cara menilai, dan cara bertindak. Tapi itu bukan lesen untuk bersikap prejudis terhadap orang lain yang hanya cuba membantu.

Saya percaya, selagi kita berurusan secara profesional dan jujur, selagi kita ikut prosedur dan adab, tak ada apa yang perlu dirisaukan. Bertanya bukan satu kesalahan. Menjadi orang tengah bukan satu dosa, lebih-lebih lagi bila kita hanya mahu memudahkan urusan orang lain.

Kita perlu belajar untuk lebih terbuka dan positif. Jangan terlalu cepat menolak. Jangan terlalu cepat menghakimi. Dunia ini sudah cukup penat. Jangan ditambah dengan salah faham yang tak perlu dan sia-sia.

**Bekerjalah dengan ikhlas. Berurusanlah dengan tenang. Bersangka baiklah! Sekian.

18 April, 2025

Tak Mengapa Kalau Kita Tak Sama.

Assalamualaikum.. Selamat sejahtera pembaca yang budiman.

Pernah tak kita jumpa orang yang cara kerjanya lain betul daripada kita? Kita jenis cepat, dia jenis tenang. Kita suka plan awal, dia suka buat dihujung-hujung. Kita jenis berterus terang, dia pula penuh kiasan dan sindiran. Kadang-kadang terasa... tapi sebenarnya, semua tu bukan salah sesiapa. Kita cuma... berbeza.

Kita dilahirkan dari latar yang tak sama. Cara mak ayah kita didik pun mungkin lain. Pengalaman hidup, kawan-kawan, cabaran yang pernah dilalui, semuanya membentuk siapa kita hari ini. Jadi bila kita dipertemukan sebagai rakan sekerja, kawan baru, atau pasangan hidup itu sebenarnya satu titik pertemuan dua dunia.

Sebab tu, bila berdepan dengan orang yang "lain macam", kita kena hati-hati. Bukan sebab dia jahat, tapi sebab kita belum faham. Kita belum cukup kenal dia. Kadang, kita sangka dia sombong, padahal dia pemalu. Kita fikir dia pemalas, padahal dia teliti. Kita rasa dia tak hormat kita, padahal dia memang begitu dari dulu.

Perbezaan itu bukan untuk dilawan, tapi untuk difahami. Kita tak perlu jadi sama, tapi kita boleh saling belajar. Kadang-kadang, orang yang paling kita tak ‘ngam’ tu lah yang paling banyak ajar kita erti sabar, bertolak ansur, dan buka fikiran.

Jadi, lain kali kalau rasa nak marah sebab orang tak ikut cara kita—pause dulu. Mungkin cara dia tak salah pun. Cuma… tak sama. Tak mengapa untuk tidak sama. 

Masih suasana raya, layan la lagu meriahnya lain macam dari Hael Husaini dan Nadeera. Hey sayang..
Sekian.


Mohon Fikir Yang Baik-Baik!

Assalamualaikum.wkt dan salam hormat pembaca yang budiman. Saya bukan orang yang sempurna. Tetapi kalau satu hari nanti kalian sebut tentang...