19 May, 2025

Maaf! Saya Cuma Manusia Biasa!

Salam hormat pembaca yang budiman! 

Hidup ini tak pernah sunyi dari pandangan orang. Setiap langkah yang kita ambil, pasti akan ada mata yang memerhati, telinga yang mendengar, dan mulut yang berbicara. Ada yang memuji, ada yang mengata. Lumrah dunia.

Jika suatu masa nanti, ada yang bercerita buruk tentang saya, saya harap kalian dengarkan saja. Percaya pun boleh, saya takkan halang. Saya tidak pernah mendakwa diri ini sebagai insan yang sempurna. Saya bukan maksum, bukan juga manusia yang tiada salah silap.

Saya ini cuma insan biasa, yang juga pernah kecewa, pernah marah, pernah tersasar dalam berkata-kata dan tindakan. Tapi saya juga sedang belajar untuk menjadi lebih baik. 

Saya tak akan sibuk menjelaskan semuanya. Saya tahu, bukan semua penjelasan akan difahami. Bukan semua orang benar-benar ingin mendengar kebenaran. Ada yang hanya mahu mendengar apa yang mereka mahu percaya.

Dalam hidup ini, saya lebih memilih untuk terus melangkah dengan hati yang tenang. Saya tidak mahu menyimpan dendam, tidak mahu membalas keburukan dengan keburukan. Saya percaya, apa yang kita beri akan kembali kepada kita, cepat atau lambat.

Jadi, jika kalian dengar sesuatu yang buruk tentang saya… senyum sajalah. Kenalilah saya dengan hatimu sendiri, bukan hanya dari cerita orang. Andai kalian masih memilih untuk percaya pada yang buruk, itu juga hak kalian.

Saya cuma mahu hidup sebagai diri sendiri. Bukan untuk puaskan semua orang, tetapi untuk terus membaiki diri setulus yang saya mampu.

Terima kasih kerana membaca. Jumpa lagi. 


18 May, 2025

Motivasi Diri!

Assalamualaikum. wkt dan selamat sejahtera kepada pembaca yang budiman. 

Ada perkara-perkara yang kadang tak terungkap. Persoalan-persoalan yang tidak terjawab. Ia tinggal di dalam hati, diam tanpa suara. Tapi rasa itu tetap hidup, berdegup bersama waktu.

Ada waktunya kita hilang rentak. Sunyi dan sepi. Barangkali saya sudah biasa dengan kehilangan. Terlalu banyak perkara berlaku dalam hidup. Tanggungjawab, kerja, ujian, dan kadang-kadang diri sendiri pun kita lupa.

Sejak kebelakangan ini saya kembali dan kerap menulis. Bukan untuk sesiapa. Tapi untuk diri saya sendiri. Menulis bagi saya bukan sekadar meletakkan kata-kata atas kertas atau skrin. Ia seperti bercakap dengan hati sendiri. Mengatur semula apa yang berserabut. Mencari kembali cahaya dalam kabus yang kita cipta tanpa sedar.

Saya tahu bukan semua hari akan indah. Tapi dengan menulis, saya cuba hadiahkan diri ini ruang. Ruang untuk faham, untuk tenang, untuk sembuh. Setiap ayat yang lahir, walaupun ringkas, adalah langkah kecil untuk saya bangkit semula.

Kadang saya cuma perlukan satu tempat untuk meluah, tanpa dihakimi. Enyah sahaja siapa yang cuba untuk iri hati..

Di sinilah, pada tulisan ini, saya belajar untuk jujur dengan diri. Saya tidak tahu ke mana arah tulisan ini akan pergi. Tapi saya tahu, saya perlu terus walaupun tanpa ada orang yang membaca dan memahami. Sedikit demi sedikit. Kata demi kata. Supaya saya tidak terperangkap terlalu lama dalam senyap yang menyakitkan.

Saya menulis bukan kerana saya baik-baik saja. Tapi kerana saya mahu terus bertahan. Hari ini saya menulis. Esok, mungkin saya senyum. 

Jumpa lagi. 




14 May, 2025

Tenang Itu Lebih Mahal!

Assalamualaikum.wkt dan salam hormat buat pembaca yang budiman.

Berjumpa lagi! Kaya, bagi saya, bukanlah segala-galanya. Tapi ketenangan itu lebih mahal daripada mana-mana kekayaan yang boleh kita kumpul. Kita hidup dalam dunia yang serba cepat. Semua orang berlumba-lumba mengejar cita-cita, harta, dan status. Tapi dalam perlumbaan itu, ramai yang terlupa satu perkara penting iaitu ketenangan hati.

Saya pernah terfikir, betapa banyak orang sanggup berkorban demi lebih harta, lebih kemewahan. Ada yang bekerja siang malam. Ada yang sanggup berbuat apa saja asalkan dapat lebih banyak. Tapi dalam usaha itu, kita kadang-kadang lupa untuk duduk sejenak dan bertanya, apa yang sebenarnya kita kejar?

Barangkali kaya! Tapi adakah ketenangan itu turut datang sekali?

Ketenangan bukan sesuatu yang boleh dibeli. Ia tak datang bila duit cukup. Sebaliknya, ketenangan lahir dari pilihan kita untuk hidup sederhana, untuk tidak terjerat dengan nafsu mengejar dunia, dan untuk menerima diri kita seadanya.

Bagi saya, cukup itu sudah lebih daripada cukup. Saya tak perlu rumah besar atau kereta mewah. Tak perlu puluhan ribu dalam akaun bank untuk rasa aman. Apa yang saya mahu hanyalah hidup yang tenang dan bebas daripada kebimbangan yang tak perlu.

Saya belajar, ketenangan datang daripada hati yang bersyukur. Daripada kemampuan menerima keadaan, tanpa membandingkan diri dengan orang lain. Mungkin kita tak punya apa yang orang lain ada, tapi kalau kita boleh tidur dengan tenang, jalan dengan lapang dada, maka kita sebenarnya lebih kaya daripada mereka yang memiliki segalanya.

Saya tak mahu jadi orang yang mengukur hidup berdasarkan harta. Saya lebih selesa ukur hidup saya dengan rasa tenang yang saya simpan dalam hati. Mungkin saya tak ada segalanya, tapi saya bahagia dengan apa yang saya ada.

Tenang dan sihat, yang kadang-kadang kita terlepas pandang, tapi bila hilang, baru terasa nilainya. Tenang… bila hati tak berkecamuk. Bila fikiran tak berserabut. Bila kita boleh duduk diam tanpa beban, senyum walau pencapaian tidak dihargai, dan tetap bersyukur dengan hari yang sederhana.

Sihat… bila badan tak sakit. Bila kita boleh bangun pagi, bergerak, buat kerja, dan rasa bertenaga. Kadang-kadang kita lupa syukur hanya kerana kita boleh berjalan, ketawa, dan tidur lena. Tapi bila demam sehari pun, hidup terus rasa terbalik.

Jadi bila orang tanya saya, “Apa yang saya cari dalam hidup ni?”

Jawab saya, “Saya nak tenang dan sihat.”

Sekian.

07 May, 2025

Diam Bukan Bermakna Bodoh!

Assalamualaikum.wkt dan salam hormat pembaca yang budiman.

Saya doakan semoga semuanya dalam keadaan sihat-walafiat di samping orang-orang yang disayangi.

Barangkali orang selalu salah faham. Atau pun sengaja tidak peduli. Bila kita diam, mereka fikir kita tak tahu apa-apa. Mereka anggap kita bodoh dan tuli, senang diperbodoh-bodohkan. Tak mengapa. anggaplah apa saja.

Kadang-kadang saya biarkan orang rasa mereka sedang "menang". Biar mereka rasa mereka paling hebat, paling betul. Saya akan tetap tersenyum. Saya tahu, permainan ini lama ke lamaan akan makan diri sendiri.

Saya bukan tak boleh melawan. Tapi saya belajar satu benda..orang yang selalu nak tunjuk pandai, selalunya dia yang paling takut kalah. Saya tak perlu buktikan apa-apa. Hidup saya sudah mengajar cukup banyak, bahawa kebijaksanaan bukan sesuatu yang perlu diiklankan.

Ada masa diam itu strategi. Ada masa diam itu perlindungan. Ada masa diam itu jawapan paling tajam untuk manusia yang tak pernah belajar menghormati orang lain. Biar mereka fikir saya bodoh. Saya tak rugi apa-apa pun.

Dalam saya berdiam dan saya memerhati. Saya ingat dan saya simpan. Bila sampai masa, saya akan pergi. tanpa bunyi dan tanpa pesan. Diam saya bukan kelemahan tetapi ianya pilihan.

Saya diam, bukan sebab saya kalah. Saya diam, sebab saya sudah lama sedar bila orang yang selalu diam mula bersuara, ia bukan lagi sekadar suara tetapi ia adalah luka yang dah lama dipendam, kebenaran yang tak lagi mampu disorok.

Jadi kalau saya terus diam, mungkin itu tandanya saya dah lepaskan. Sudah reda dan tidak mahu ambil tahu lagi. Saya sudah berdamai dengan takdir dan akan terus berlapang dada.

Sebab akhirnya, saya bukan perlukan perhatian sesiapa. Saya cuma perlukan ketenangan dalam hidup yang penuh pura-pura ni. Saya tak akan ubah diri saya untuk diterima sesiapa. Saya dah cukup belajar, dan yang paling penting, saya terima diri saya sendiri seadanya.

Sampai jumpa. 




06 May, 2025

Pintu Hati Saya Sentiasa Terbuka!

Assalamualaikum.wkt dan salam hormat kepada pembaca yang budiman!

Hidup ini memang penuh dengan segala drama. Saya sudah sampai ke satu tahap tidak lagi memaksa sesiapa pun untuk suka atau terima saya. Dulu, saya mungkin cepat terasa bila orang mula menjauh. Tapi tidak sekarang? Saya lebih tenang. Saya lebih cuba untuk mengenal diri..

Kalau ada yang mahu pergi, saya buka pintu. Saya tidak akan menghalang. Kalau ada yang mahu hadir, saya jemput duduk sambil mengopi.

Saya bukan sempurna, tapi saya jujur. Saya lebih selesa dikelilingi oleh orang yang menerima saya seadanya, bukan yang berpura-pura manis di depan, tetapi mengata di belakang.

Saya belajar, berkawan itu bukan tentang jumlah, tapi tentang jiwa. Seorang kawan yang benar-benar ikhlas lebih bernilai dari seratus yang hanya hadir bila mereka perlu.

Nah kalau ada yang terasa dengan apa yang saya tulis… makan cili, minumlah air supaya tidak pedas. Saya tidak menulis untuk memuaskan hati semua orang. Saya menulis sebab ini suara saya. Ini tentang rasa.

Selama ini pun saya hidup berdiri dengan kaki sendiri. Saya jatuh sendiri, bangkit sendiri. Tiada siapa yang tahu cerita di balik senyum saya. Saya bukan batu, saya juga ada hati. Tapi hati saya dah terbiasa diuji. Jadi sekarang saya lebih memilih untuk menjaga hati sendiri daripada menjaga hati orang yang tak pernah peduli pun dengan saya.

Terima kasih kepada teman-teman yang ikhlas.

Sampai jumpa lagi.

Selamat datang Muhammad Erwan Saing M.A, Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia!

Mohon Fikir Yang Baik-Baik!

Assalamualaikum.wkt dan salam hormat pembaca yang budiman. Saya bukan orang yang sempurna. Tetapi kalau satu hari nanti kalian sebut tentang...