22 December, 2024

Realiti Maya & Pencipta Kandungan - Di Mana Hilangnya Adab kita.

Assalamualaikum.wkt dan selamat sejahtera. Saya kembali lagi.

Sebenarnya saya tidak mahu mencampuri urusan sesiapa pun. Walaubagaimana pun atas rasa tanggungjawab saya tetap akan menulis dan berkongsi pandangan kerana apa yang berlaku sebenarnya bakal mengugat sosio budaya adat masyarakat kita.

Media sosial hari ini bukan sekadar tempat untuk kita scroll mengisi masa lapang. Ia sudah menjadi satu dunia maya yang penuh dengan cerita, warna-warni dan hiburan. Namun, dalam keseronokan itu, kita semakin terdedah kepada satu fenomena yang membimbangkan iaitu dunia palsu yang dicipta oleh content creator demi perhatian dan keuntungan. 

Siapa sahaja boleh menjadi pencipta kandungan. Hanya dengan telefon pintar, idea menarik dan keberanian untuk berkongsi, seseorang boleh menjadi popular dalam masa singkat. Tidak salah untuk berkongsi cerita, ilmu atau hiburan. Tetapi yang menjadi persoalan, sejauh mana kandungan yang dikongsi itu benar dan membawa nilai kepada masyarakat?

Realitinya, ada segelintir pencipta kandungan yang memilih jalan mudah dengan mencipta cerita palsu, memanipulasi fakta, berpura-pura susah, berdrama demi tontonan dan perhatian. Mereka mencorakkan satu realiti maya yang tidak mencerminkan kebenaran, malah merosakkan nilai budaya dan adab masyarakat.

Lebih membimbangkan, ramai yang menonton tanpa sedar mereka sedang disogok dengan kandungan palsu. Lama-kelamaan, masyarakat menjadi biasa dengan fitnah, sindiran, drama murahan, dan aib yang dijadikan tontonan harian. Nilai hormat, budi bahasa, dan empati yang dulunya menjadi pegangan kita semakin terhakis.

Sebahagian besar daripada kita sebagai penonton juga turut menyumbang kepada budaya ini. Kita cepat klik, komen dan kongsi tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Kita jadi sebahagian daripada ekosistem yang mempopularkan kandungan yang sebenarnya merosakkan budaya kita sendiri.
Mencipta kandungan memang mudah. Tetapi menjaga adab, menjaga maruah, menjaga kebenaran, itulah cabaran sebenar.

Kepada para pencipta kandungan, ingatlah. dalam mengejar tontonan dan pengikut, jangan sampai kita gadaikan nilai diri dan budaya kita. Jangan biarkan realiti maya yang kita cipta itu memperbodohkan masyarakat dan meruntuhkan adab yang telah kita jaga sekian lama.

Buat kita semua sebagai penonton, belajarlah untuk berfikir sebelum klik. Pilih untuk menyokong kandungan yang membawa manfaat, ilmu dan kebaikan bukan konten yang penuh drama dan kepalsuan.

Media sosial adalah alat, bukan penentu siapa kita. Jika kita semua bijak menggunakannya, ia boleh menjadi ruang untuk menyebarkan kebaikan dan mengekalkan adab dalam dunia digital ini.

Beringat sebelum tergadah.
Salam hormat dan jumpa lagi.

23 October, 2024

Semoga Tetap Kuat!

Terkadang, dalam perjalanan hidup, kita tersedar bahawa diri yang dahulu penuh semangat dan keyakinan kini kian menjauh. Suatu ketika, setiap langkah terasa ringan, dibaluti harapan dan kegembiraan yang melimpah. Namun, kini ada kerinduan yang tak terluah—bukan kepada orang lain, tetapi kepada diri kita yang pernah kita kenali.

Perasaan ini menyusup tanpa disedari, perlahan-lahan memenuhi ruang hati. Kita tidak merindui masa lalu, tetapi merindui versi diri yang tersisih di celah-celah kesibukan dan cabaran hidup. Soalan itu sering muncul, "Di mana aku yang dulu?" dan kerinduan ini semakin meresap dalam.

Menemui semula diri yang hilang bukanlah sebuah perjalanan mudah. Ia menuntut keberanian untuk menghadapi emosi yang telah lama dipendam. Kita perlu memberi ruang untuk diri mencari semula apa yang pernah memberi kita makna, dan memulihkan semangat yang terhakis oleh masa.

Langkah pertama ialah menerima kerinduan ini sebagai isyarat untuk memulakan langkah baru—langkah mencintai diri. Belajarlah untuk mengasihi diri dengan ikhlas, memaafkan kekurangan, dan sedar bahawa kita juga layak untuk merasai kebahagiaan.

Akhirnya, kerinduan ini bukan petanda kelemahan, tetapi satu peluang untuk menyayangi diri dengan lebih mendalam. Dalam perjalanan ini, kita akan menemui keindahan dalam menerima diri sepenuhnya, baik kekuatan mahupun kelemahan. Dan tiada yang lebih manis daripada kembali mencintai diri dengan sepenuh hati—itulah kunci kepada kebahagiaan yang kita cari selama ini.

Ihsan : Public Health Malaysia.

Graduasi Program Pensijilan Profesional - Certified Human Resource Officer (CHRO) Public Sector 2024 Bagi Projek Khas Naib Canselor (VCSP) P403

Assalamualaikum.wkt dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah.. Akhirnya saya berjaya menyelesaikan program CHRO. Saya dengan rendah diri merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah memberi peluang, tunjuk ajar dan sokongan dalam saya mengikuti serta menyelesaikan program ini terutamanya :

i. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin - Naib Canselor UiTM
ii. Tuan Haji Muhamad Nizam Noordin, MMIHRM - Pendaftar UiTM
iii. Ts. Mohd Rafizi Rahmad, CHRM - Ketua Timbalan Pendaftar, PJI
iv. Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini - Rektor UiTM Cawangan Melaka
v. Encik Shamsol Kamal Shrriffudin, CHRM  - Timbalan Pendaftar Kanan KPSK (Mentor)
vi. Ts. Mohd Hafiz Askiak - Koordinator Pusat Kebudayaan
vii. Cik Mus Rohaizi Mustapar Kamal - Ketua Perkhidmatan Skim B UiTM
vii. Encik Abdul Qaiyum Abdul Razak, CHRM - Penolong Pendaftar Kanan ILD Enstek (Penyelaras Program)

Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua responden yang membantu memberi maklum balas dalam tugasan saya dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak.  Perhatian dan kerjasama YBhg. Datuk/ tuan/ puan dalam perkara ini amatlah saya hargai.

03 October, 2024

Alhamdulillah. Sepertinya memulai kembali.

Salam hormat,

Terkadang, kita merasa keberuntungan adalah sesuatu yang jauh dari jangkauan, sesuatu yang hanya dimiliki oleh segelintir orang. Namun, kalau kita fikirkan lagi, mungkin keberuntungan itu bukan sekadar nasib baik yang tiba-tiba datang mengetuk pintu. Keberuntungan sering kali datang dari usaha, ketekunan, dan kesediaan kita menghadapi dunia.

Pernah dengar istilah 'keberuntungan berpihak pada yang berani'? Nah, boleh jadi, keberuntungan sebenarnya lebih dekat dengan mereka yang tidak takut melangkah, yang selalu mencuba hal-hal baru, dan yang tidak cepat menyerah. Saat kita membuka diri terhadap kemungkinan, bersikap positif, dan tetap semangat meskipun keadaan tidak selalu sesuai harapan, di situlah keberuntungan mungkin sedang bekerja dalam diam. Jadi, jom ciptakan keberuntungan kita sendiri! Kadang kita hanya perlu sedikit keberanian untuk memulai, usaha lebih untuk bertahan, dan hati yang terbuka untuk melihat peluang di sekitar.

Terima kasih.

01 October, 2024

Kepercayaan.

Selamat sejahtera semua. 

Kepercayaan adalah satu elemen penting dalam kehidupan kita. Sama ada dalam hubungan peribadi, kerjaya, atau urusan harian, ia adalah asas yang menyokong segala-galanya. Tanpa kepercayaan, sukar untuk membina ikatan yang kukuh dan bermakna. Tetapi apakah sebenarnya kepercayaan itu?

Kepercayaan bermula dengan kesanggupan kita untuk meletakkan keyakinan kepada orang lain. Dalam konteks hubungan peribadi, ia mungkin bermaksud mempercayai pasangan kita untuk bersikap jujur dan setia. Dalam kerjaya, kita percaya bahawa rakan sekerja kita akan melaksanakan tugas mereka dengan baik. Ini semua tentang kesanggupan untuk membuka diri dan menerima bahawa orang lain akan melakukan yang terbaik, walaupun kita tahu tiada siapa yang sempurna.

Namun, kepercayaan tidak dibina dalam sehari. Ia memerlukan masa, usaha, dan kadang-kadang, pengorbanan. Kita perlu bersedia untuk menjadi jujur, telus, dan terbuka dalam komunikasi kita. Sekali kita berjaya membina kepercayaan, ia menjadi asas yang kukuh untuk hubungan yang berkekalan dan harmonis.

Pun begitu, kepercayaan juga mudah musnah. Hanya dengan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab atau menipu, seluruh kepercayaan yang telah dibina bertahun-tahun boleh runtuh. Ini yang menjadikan kepercayaan sesuatu yang begitu rapuh dan memerlukan perhatian yang berterusan.

Kepercayaan bukan sekadar kata-kata, ia adalah tindakan. Ia memerlukan masa, komitmen, dan yang paling penting, keikhlasan. Semoga kita semua terus memupuk kepercayaan dalam diri, hubungan, dan komuniti kita. 
Kepercayaan kepada diri sendiri dan juga kepada orang sekeliling memberikan saya kekuatan untuk terus melangkah, walaupun adakalanya cabaran datang bertalu-talu.

Apabila kita percaya kepada proses pembelajaran, kita yakin bahawa usaha yang dicurahkan akan membuahkan hasil. Kepercayaan ini juga mendorong kita untuk sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah berputus asa, walaupun situasi menjadi sukar. Pada akhirnya, kepercayaan ini yang menjadi pendorong utama saya untuk kekal bersemangat, tidak kira apa rintangan yang datang. Ia adalah asas kepada setiap langkah yang diambil dan kompas yang membimbing saya menuju kejayaan. Salam hormat.

30 July, 2024

Mengikuti Program Certified Human Resource Officer (CHRO) Public Sector, Pejabat Pendaftar UiTM dan Malaysian Institute Of Human Resource Management (MIHRM)

Assalamualaikum.wkt dan selamat sejahtera. Saya kembali setelah sekian lama. 

Drama yang berlaku di Bulan Jun 2024 sangatlah menguji jiwa, hati nurani saya. Sambutan Hari Lahir yang sederhana dan penuh dengan emosi. Terima kasih Iman dan Encik Helman yang tidak pernah melupai dan tetap meraikan tiap kali 1 Jun. Hari-hari berlalu dengan keadaan Ibu yang uzur dan nazak sehinggalah beliau menutup usia membawa kepada keadaan tubuh badan saya turut lemah dan sakit. Terima kasih kepada semua yang mendoakan roh arwah Ibu saya yang meninggal dunia pada 28 Jun 2024 (Jumaat) jam 1.22 Petang. Allah juga yang mampu membalas jasa kalian. Al fatihah. Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada semua terutama adik beradik dan sanak saudara sekiranya terdapat salah dan silap saya, daripada perbuatan hinggalah kata-kata. Sesungguhnya saya ini lemah dan kekurangan. Janganlah kalian mengambil hati dan menyimpan dendam. Dunia ini hanya pinjaman dan sementara. 

Menjalani hari-hari, terasa seperti memulai babak baru dalam hidup. Lama juga saya berfikir tentang ini. Mengikutinya akan membuat saya terlalu sibuk kerana kuliah dijalankan pada hari sabtu dan ahad, bertempat di UiTM Shah Alam. Saya perlu kuat, sihat serta menguruskan biaya sendiri termasuk perjalanan, penginapan untuk menjalani hari-hari ke depan. Keputusan untuk mengikuti Program Certified Human Resource Officer (CHRO) Public Sector, anjuran oleh Pejabat Pendaftar UiTM dan Malaysian Institute Of Human Resource Management (MIHRM) adalah langkah gigih dan berani bagi menyahut cabaran UiTM Vice Chancellor Special Project (VCSP) P403.  


Jutaan terima kasih Tuan Haji Muhamad Nizam Noordin, Pendaftar UiTM,  Ts. Mohd Rafizi Rahmad (Ketua Timbalan Pendaftar, Pejabat TNC PJI) selaku Pengarah Program CHRO dan Encik Abdul Qaiyum Abdul Razak (Penolong Pendaftar Kanan. ILD), Penyelaras Program CHRO serta sahabat seperjuangan, Mohd Zulfahmee Ismail, Encik Mohd Saiful Nizam Suhaimi (AJK ILD), Encik Ali Ahmad (AJK ILD) yang memberi bantuan, dorongan dan semangat. Doakan saya mengikuti program ini sehingga selesai dan jayanya. Tahniah kepada semua peserta CHRO Batch 1/ 2024! Tidak lupa juga terima kasih kepada Encik Shamsol Kamal Shrriffudin, CHRM (Timbalan Pendaftar Kanan, KPSK) kerana sudi menjadi Mentor saya dalam program CHRO ini. Tunggu kehadiran saya.

Jumpa nanti. Salam.




Jangan Prasangka & Salam Lebaran 1 Syawal 1446H.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Semoga semuanya sentiasa sihat walau di mana jua berada. Kadang-kadang, tanpa sedar kita terlal...