Assalamualaikum. wkt dan salam sejahtera pembaca yang budiman.
Hidup ini tidak selalu berjalan seperti apa yang kita harapkan. Ada masa kita memberi kepercayaan sepenuh hati, tetapi akhirnya dikecewakan. Ada waktu kita menjaga perasaan orang lain sebaik mungkin, namun tetap juga terluka dengan kata-kata mereka. Ada ketika kita sudah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi hasilnya tetap tidak seperti yang diimpikan. Begitulah dunia ini. Tidak semua yang kita mahu akan menjadi nyata.
Kecewa itu normal. Semua orang pernah melaluinya. Bezanya cuma bagaimana seseorang mengawal dirinya saat kecewa datang bertubi-tubi. Ada yang memilih untuk melepaskan marah kepada semua orang. Ada yang terus berubah dingin. Ada juga yang menyimpan sakit itu dalam diam sambil cuba belajar menerima kenyataan. Hakikatnya, bukan semua luka perlu dibalas dengan kemarahan. Bukan semua sakit perlu diumumkan kepada dunia. Kadang-kadang diam itu lebih matang daripada terus meluahkan emosi yang akhirnya hanya meninggalkan penyesalan.
Sebab bila emosi menguasai diri, kita mudah berkata sesuatu yang sebenarnya tidak patut diucapkan. Kita boleh merosakkan hubungan yang dibina bertahun-tahun hanya kerana beberapa minit kemarahan. kadang-kadang, luka yang lahir daripada kemarahan itu jauh lebih besar daripada punca kecewa yang sebenar. Menelan kekecewaan bukan bermaksud lemah. Bukan juga berpura-pura kuat. Tetapi itu tanda seseorang masih mampu mengawal dirinya walaupun hati sedang kacau-bilau. Masih mampu menjaga sikap walaupun dalam dada penuh rasa kecewa.
Kedewasaan sebenar selalunya bukan terlihat saat seseorang sedang bahagia. Tetapi saat dia kecewa dan masih mampu memilih untuk tenang. Kerana hidup ini terlalu singkat untuk dipenuhi dendam dan kemarahan yang tidak berpenghujung. Marah tidak akan mengubah apa yang sudah berlaku. Ia cuma meletihkan hati, merosakkan fikiran, dan membuat jiwa semakin berat.
Tidak salah untuk sedih. Tidak salah untuk menangis. Kita manusia biasa, bukan batu yang tidak punya perasaan. Tetapi selepas semua rasa itu berlalu, kita tetap ada pilihan. Sama ada mahu terus hanyut dalam kemarahan, atau perlahan-lahan belajar menerima dan meneruskan hidup. Seni menelan kekecewaan adalah belajar memahami bahawa manusia boleh berubah, harapan boleh runtuh, dan kenyataan tidak selalu indah seperti yang kita bayangkan. Namun walaupun begitu, kita masih boleh memilih untuk tetap tenang, tetap menjaga hati, dan tetap melangkah tanpa membawa kebencian ke mana-mana.
Kadang-kadang, kemenangan terbesar dalam hidup bukan ketika kita berjaya membalas rasa sakit itu. Tetapi ketika kita mampu mengawal diri dan tidak kehilangan diri sendiri hanya kerana kecewa sesaat.
Sekian, jumpa lagi.

No comments:
Post a Comment