06 May, 2010

Berita Lama (Berita Harian)

Gabungan bakat baru, veteran Oleh Nurul Farina Nazlan nfarina@bharian.com.my 2010/04/27
MALAM Puisi Riong - Shah Alam, Selangor: Wasilah Cinta Pencipta dan Manusia yang akan berlangsung di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam, Jumaat ini, jam 8 malam, bakal memperlihatkan bakat di kalangan penyair veteran dan muda di samping artis popular tanah air.
Penerima Anugerah Penulisan Sea 2005, Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi, berkata beliau akan melagukan puisi bersama tiga hingga lima pelajarnya bagi menyedarkan khalayak mengenai kepelbagaian dalam puisi.
“Saya akan cuba memberi kelainan pada acara kali ini dengan melagukan puisi mengikut gaya tersendiri kerana yakin bahawa seorang deklamator perlu kreatif dan antaranya melalui dendangan yang memberi saya kebebasan untuk bergerak bebas di pentas puisi.
“Saya juga ingin membuka minda khalayak bahawa puisi tidak terhad dan boleh dipelbagaikan. Saya yakin, gabungan penyair lama dan baru dalam acara itu nanti mampu memberi kelainan di samping memungkinkan berlangsungnya perkongsian idea dan ilmu di kalangan penyair,” katanya ketika dihubungi Sastera melalui telefon.
Malam Puisi Riong - Shah Alam, Selangor anjuran bersama Unit Sastera, Berita Harian dan Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Komuniti Akar adalah destinasi kelima dalam siri jerayawara program terbabit tahun ini.
Tirai Malam Puisi Riong tahun ini dibuka di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, pada 3 Februari lalu sebelum singgah ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, (17 Mac); Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai (27 Mac) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh (7 April)
Acara puisi itu nanti bakal mengutip nostalgia tersendiri apabila penyair muda, Mohd Hatta Mohd Yatim, menyampaikan puisi diiringi petikan biola bagi memberi inspirasi dan kelainan dalam persembahan yang secara tidak langsung membantu khalayak menterjemah mesej di sebalik bait puisi yang disampaikan.
Mohd Hatta bercadang mendeklamasikan puisi hasil karyanya berjudul Cerita Tentang Buang dan Hilang yang mengetengahkan isu kemanusiaan untuk dikongsi dengan khalayak pada malam terbabit.
“Saya yakin persembahan pada malam terbabit akan membuka mata khalayak betapa gabungan orang lama dan baru mampu memberi kesan mendalam dan memungkinkan terzahir kepelbagaian dalam penyampaian sehingga khalayak tidak jemu,” jelasnya.
Seorang lagi penyair muda yang bakal beraksi pada malam terbabit, Nur Affina Yanti Jamalludin atau nama penanya Fynn Jamal, pula bakal menyampaikan puisi secara spontan lewat muzik yang bakal dimainkan oleh pemuzik di pentas acara pada malam itu.
“Saya tidak pernah mengehadkan persembahan saya. Bagi saya muzik penting ketika mendeklamasi puisi kerana setiap muzik ada cerita tersendiri. Pada malam itu nanti saya akan sampaikan puisi mengikut latar dan bunyi muzik yang dimainkan,” ujarnya.
Selain Fynn, acara puisi itu turut menampilkan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan Mat Nor; Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail serta Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said dan Datuk Dr Anwar Ridhwan.
Ia turut menampilkan penulis muda, Faisal Tehrani manakala penggiat muda ialah Ashraf Ishak, Mohd Suffian dan Norr Azah serta turut diserikan dengan persembahan lagu puisi oleh artis tempatan seperti Aishah, Rizu (One in a Miliion), Rini (Akademi Fantasia 7) dan orang ramai dipelawa hadir beramai-ramai.

No comments:

Penerima Anugerah Pentadbir Terbaik - Anugerah Pentadbir Universiti 2022

Assalamualaikum.wkt. Terima kasih kepada Rektor UiTMCM, Pengurusan Tertinggi (JKEN), semua staf unit bawah Bah. Hal Ehwal Pelajar, rakan-rak...